Memori Terindah Bandar Diraja Kuala Kangsar

Kenangan terindah ketika berada di Bandar Diraja Kuala Kangsar sememangnya meninggalkan satu kenangan abadi yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

Ketika Mercikkk.com berpeluang mengunjungi Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan hasil ajakan sahabat, Mohd Adib Mohd Yusop digunakan sepenuhnya untuk mengunjungi beberapa lokasi menarik sekitar Kuala Kangsar.

Jika dikaji sejarah Kuala Kangsar merupakan sebuah Bandar DiRaja dan bersejarah bagi negeri Perak dan ia merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan IKS (Industri Kecil dan Sederhana)yang cukup menarik. 

Ia terletak kira-kira 48 kilometer ke utara dari Ipoh dan nama Kuala Kangsar diambil dari nama sebatang pokok iaitu pokok kangsar yang tumbuh di tebing sungai dan juga terdapat versi mengatakan terdapatnya 99 anak sungai dan kurang 1 daripada 100 dan akhirnya disebut Kuala Kurang Sa. 

Selain aktiviti pertanian yang menjadi ekonomi utama Kuala Kangsar mempunyai 9 Mukim iaitu Mukim Chegar Galah, Mukim Kota Lama Kiri, Mukim Lubok Merbau,Mukim Kampung Buaia, Mukim Senggang, Mukim Sayong, Mukim Kota Lama Kanan, Mukim Sungei Siput dan Mukim Pulau Kemiri.

Selain itu juga terdapat beberapa kawasan pelancongan dan rekreasi yang menjadi tumpuan utama pelancong di Kuala Kangsar iaitu Istana Iskandariah di Bukit Chandan, 

Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Galeri Sultan Azlan Shah dan Istana Kenangan / Istana Kuning yang kini dijadikan Muzium DiRaja Perak. 

Bukan itu sahaja, terdapat 5 buah jambatan yang dibina merentangi Sungai Perak iaitu Jambatan Iskandar dibina tahun 1928, Jambatan Sultan Azlan Shah (laluan Lebuhraya Utara Selatan), Jambatan Sultan Abdul Jalil (menghubungkan bandar ini dengan Kampung Sayong), Jambatan Victoria (jambatan keretapi pertama di Malaysia) dan Jambatan Keretapi Landasan Berkembar.

Apa yang menarik antara lokasi yang sempat dikunjungi adalah Hutan Lipur Ulu Kenas, Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Jambatan Victoria dan Pokok Getah Pertama di Malaysia.

HUTAN LIPUR ULU KENAS 

Lata Ulu Kenas terletak kira kira 15km perjalanan dari Bandar Kuala Kangsar, menuju ke Pekan Manong. 

Ia kaya dengan flora dan fauna yang terdapat di Hutan Hujan Khatulistiwa selain Hutan Lipur Ulu Kenas diselia Jabatan Perhutanan Negeri Perak negeri mempunyai tarikan istimewa kerana selain airnya yang jernih dan sejuk dan sepanjang sungai sejauh kira-kira 3 kilometer itu, semua tempat sesuai untuk mandi-manda, baik untuk dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

Terdapat beberapa chalet milik Jabatan Perhutanan juga disediakan kepada pengunjung yang ingin bermalam dan tapak perkhemahan di sepanjang sungai di situ.

Dilampirkan caj sewa untuk rujukan anda termasuk nombor telefon untuk dihubungi sama ada untuk tempahan dan sebagainya.

ISTANA ISKANDARIAH

Istana Iskandariah terletak di atas Bukit Chandan dan menjadi istana rasmi tempat bersemayam Raja-raja pemerintah yang ditabal sebagai Sultan Perak sejak tahun 1933 dahulu. 

Nama istana ini diambil sempena nama Sultan Iskandar Shah yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya dahulu dan tapak asalnya merupakan tapak Istana Negara yang dirobohkan pada 1933. 

Senibina istana ini mengambil corak senibina Islam-India ‘Saracenic’ dengan campuran senibina Asia Barat. 

Motif pada gerbang tajam ( pointed arch) , hiasan minaret, kubah berbentuk bawang ( onion shaped domes). Ia adalah hasil ilham , pengalaman dan perjalanan arkitek dan jurutera British di Tanah Melayu. Senibina sedemikian terpancar juga pada Masjid Ubudiah, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

MASJID UBUDIAH

Masjid Ubudiah dikenali sebagai Masjid Iskandariah atau Masjid Diraja dimana ia terdapat kubah emas dan menara masjid pada seni bentuknya yang direka berkonsepkan seni bina ‘saracenic’ atau Islam-India.

Maksud Ubudiah juga cukup mendalam iaitu pengabdian kepada Allah yang maha agung dan ia mula dibina pada 26 September 1913 dan siap empat tahun selepas itu dengan kos pembinaan bernilai RM220,000.00.

JAMBATAN VICTORIA

Jambatan Victoria (juga dikenali sebagai Jambatan Enggor) adalah sebuah jambatan kereta api yang terletak di Pekan Karai, Kuala Kangsar, Perak. 

Jambatan yang merentangi Sungai Perak (sungai kedua terpanjang di semenanjung) ini mula dibina pada tahun 1897 dan siap pada 1900. 

Ia merupakan jambatan kereta api tertua di Malaysia dan usia jambatan ini adalah 121 tahun dan pernah dijadikan salah satu lokasi menarik dalam filem Zombie Kampung Pisang arahan Mamat Khalid.

POKOK GETAH TERTUA DI MALAYSIA

Pokok Getah ini terletak berhampiran dengan Pejabat Daerah Kuala Kangsar dan satu-satunya pokok getah pertama yang hidup daripada sembilan pokok getah asal yang ditanam pada tahun 1877.

H.N.Ridley adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Kuala Kangsar sebagai daerah industri getah yang pertama dan akhirnya menjadi sumber pendapatan penting di Malaysia.

Apa yang menarik pokok getah ini masih utuh hingga ke hari ini.

#cuti-cutiMalaysia #kualakangsar #sejarah #ulukenas#istanaiskandariah#masjidubudiah#victoriabridge#pokokgetah #kualakangsar