Dua negara cantumkan ikatan persahabatan

Dua negara cantumkan ikatan persahabatan

PERTEMUAN singkat dua hari di Pulau Pinang akhirnya menyatukan ikatan persahabatan dua negara dalam memupukkan semangat โ€œBrotherhoodโ€ penunggang motosikal berkuasa tinggi antara Malaysia dan Thailand.

Biarpun jarak ribuan kilometer antara kedua-dua negara memisahkan kedua-duanya namun nilai hormat antara satu sama lain cukup tinggi biarpun berbeda agama.

Inilah yang ingin dikongsikan Rudy Syareme Sheriffudin apabila berpeluang membawa lima sahabat dari negara gajah putih ini untuk mengenali Pulau Pinang dengan lebih dekat lagi dihati mereka yang buat pertama kalinya menjejaki pulau mutiara yang dikenali sebagai syurga makanan dan destinasi pelancongan negara.

Perkenalan singkat bermula dari pertemuan antara sahabat Northern Versys Owner Group (NVOG), Mokhtar Md Daud di R&R Tapah ketika dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur manakala mereka dari Pagoh ke Cameron Highland.

Oh ya! Lupa pulak hendak perkenalkan diri mereka kepada anda semua.

Kelima-lima sahabat iaitu Natty Nutnutcha bersama suami Nick Here, Surpavat Srivongchai atau Action serta Parin Boonkaittibutr dan isteri, Nampueng Samsunran datang dari Bangkok, Thailand dari kelab Bangkok Triumph Bikers untuk bercuti ke Malaysia dan Singapura sejak dari 31 Disember 2018 hingga 7 Januari 2019.

Percutian ke Malaysia meliputi beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Sepang, Melaka, Johor serta Singapura dan tidak ketinggalan Cameron Highland, Ipoh dan Pulau Pinang sebagai destinasi terakhir.

Bermula sapaan manja antara Mokhtar dan Parin akhirnya menemukan NVOG & Friends apabila diperkenalkan kepada mereka berlima untuk bertemu dengan semua sahabat bikers dari Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya.

Perlawaan untuk menghadiri Majlis Doa Selamat dan Tahlil NVOG & Friends di Meor Merah Speed Workshop di Permatang Tok Kandu, Permatang Pauh pada malam Sabtu lalu disambut penuh gembira oleh mereka semua.

Penulis juga diberi peluang berkenalan dengan mereka dengan lebih dekat apabila diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh Presiden NVOG & Friends, Fazrul Shahril dan penasihat, Zazari Bakar untuk membawa mereka menghadiri majlis untuk sesi beramah mesra.

Tanggungjawab yang diamanahkan digunakan sebaik mungkin untuk memberikan layanan terbaik buat mereka agar kedatangan ke Pulau Pinang menjadi memori dan kenangan terindah yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

Tepat jam 6 petang Sabtu lalu, penulis pergi ke hotel penginapan mereka di sebuah hotel di Lebuh Pantai untuk membawa mereka bersiar-siar dan makan malam.

Destinasi pertama adalah sekitar Penang Street Art di Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh sebelum singgah di Padang Kota Lama untuk menikmati juadah wajib Pulau Pinang, Pasembor dan keenakkan Nasi Kandar di Restoran Nasi Kandar Mohamed Raffi di Pulau Tikus.

Setiba di Meor Merah Speed pada jam 10 malam disambut penuh meriah oleh sahabat NVOG & Friends sambil dihidangkan dengan pelbagai juadah yang cukup melazatkan.

Perkenalan pertama sudahpun meriah apatah lagi nilai persahabatan dan ikatan jalinan kekeluargaan antara dua negara sukar dicari ganti atau diperolehi oleh mana-mana bikers dari luar negara.

Semangat ukhwah inilah yang perlu dicontohi oleh semua bikers tanpa mewujudkan sebarang jurang pemisah baik dari segi jenama motor atau apa saja kerana semua itu diibarat sama seperti satu keluarga yang cukup besar.

Sebagai perhargaan pertukaran cenderahati istimewa diberikan NVOG & Friends kepada mereka berlima sebagai tanda kenangan disamping sesi beramah mesra dan bergambar turut diadakan.

Pada keesokkan hari dijanjikan penulis yang tiba-tiba menjadi pemandu pelancong telah membawa mereka bersiar-siar sekitar Pulau Pinang dari pagi hingga ke malam dan segala perancangan disusun dengan begitu rapi.

Bermulalah destinasi menjamu selera di Naina Roti Bakar di Jalan Transfer, Georgetown untuk sarapan pagi dan diperkenalkan juadah roti canai, roti bakar serta telur setengah masak dan nasi lemak.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka disamping bergambar kenangan di mural gambar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum bertolak ke destinasi kedua.

Destinasi kedua pula dibawa melawat Bukit Bendera dan mengunjungi muzium burung hantu dan kamera serta melihat panorama indah Pulau Pinang.

Destinasi ketiga pastinya ke tempat makan dan dibawa ke Bangkok Lane yang popular dengan mee rebus dan pasembor serta nasi kandar.

Destinasi keempat pula ke Batu Ferringhi dan singgah di Pantai Miami untuk mandi manda dan ke Hotel Hard Rock Pulau Pinang untuk bergambar.

Haripun dah malam, destinasi terakhir untuk makan malam dan permintaan mereka untuk menikmati juadah Thailand dan mereka dibawa ke Bangkok Garden di Persiaran Gurney untuk menikmati steamboat.

Selesai makan malam dengan perut kekenyangan dan pulang ke hotel penginapan untuk berehat dan keesokkan harinya akan bertolak pulang ke Thailand dengan 1,001 memori terindah.

Sepanjang bersama mereka pelbagai maklumat dan jalinan kemesraan dieratkan lagi antara NVOG & Friends demi satu persahabatan yang utuh antara dua negara kerana kita adalah โ€œBrotherhoodโ€.

Jutaan terima kasih diberikan kepada semua pihak termasuklah kelima-lima sahabat iaitu Natty Nutnutcha bersama suami Nick Here, Surpavat Srivongchai atau Action serta Parin Boonkaittibutr dan isteri, Nampueng Samsunran.

Tidak lupa buat semua rakan-rakan NVOG & Friends di atas segala kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan dan tanpa peluang keemasan ini tidak mungkin akan diperolehi dimana-mana.

Buat sahabat dari Bangkok Triumph Bikers terima kasih atas kerjasama yang diberikan dan mohon maaf sekiranya ada kekurangan semasa menemani anda dan datanglah lagi ke Pulau Pinang dan pastinya NVOG & Friends akan sentiasa menanti kedatangan anda.

NVOG & Friends memang terbaik๐Ÿ‘๐Ÿ‘๐Ÿ‘๐Ÿ‡ฒ๐Ÿ‡พ๐Ÿ‡น๐Ÿ‡ญ๐Ÿ‡ฒ๐Ÿ‡พ๐Ÿ‡น๐Ÿ‡ญ๐Ÿ‡ฒ๐Ÿ‡พ๐Ÿ‡น๐Ÿ‡ญ๐Ÿ‡ฒ๐Ÿ‡พ๐Ÿ‡น๐Ÿ‡ญ๐Ÿ‡ฒ๐Ÿ‡พ๐Ÿ‡น๐Ÿ‡ญ

#nvog
#nvogandfriends
#bangkoktriumphbikers
#mercikkk.com
#brotherhood
#malaysia
#thailand
#bikers
#wearebrothers

Nukilan penulis
RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
mewakili NVOG & Friends Pulau Pinang.
6 Januari 2019