Sampai Bila Harus Ketinggalan

Sikap tidak ingin berubah atau lebih bertanggungjawab manusia mengenai kebersihan alam sekitar masih jauh ketinggalan ke belakang dan ia sesuatu yang cukup dikesali.

Pelakon popular dan pencinta alam sekitar, Maya Karin, 39, berkata, ketiadaan kesedaran sivik dan membuang sampah sesuka hati tanpa rasa bersalah serta mementingkan diri masih berlaku hari ini.

“Pembuangan sampah di dalam sungai terus berlaku didepan mata dan membuktikan mentaliti manusia masih tidak berubah.

“Saya cukup sedih, marah dan kecewa dengan segelintir sikap orang ramai yang menjadikan sungai sebagai tempat membuang sampah secara berleluasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir Program Voluntourism Malaysia Bersih dan Indah di Dataran Pancing, Jeti Nelayan Pulau Betong, Balik Pulau di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Pengarah MOTAC, Jonathan Adam P Bagang.

Maya menambah, untuk mendidik masyarakat setempat untuk lebih bertanggungjawab mengenai alam sekitar perlu dibentuk melalui penyebaran awal maklumat di sekolah, surau dan masjid oleh pemimpin masyarakat.

Beliau berkata, usaha berkenaan dilihat kurang mendapat impak lalu berpendapat dengan adanya suara selebriti sepertinya mampu menarik perhatian masyarakat khususnya peminat-peminat.

Katanya, selepas beberapa pembincangan bersama pakar-pakar serta penyelidik mengenai alam sekitar mendapati mereka kurang dikenali dan sukar diterima sehinggakan mengambil inisiatif melakukan dengan cara sendiri.

“Orang ramai dengan selebriti sememangnya mempunyai jalinan kemesraan yang tersendiri dan usaha begitu dilihat sebagai penyambung jambatan untuk lebih dekat dengan turun padang melalui program kesedaran alam sekitar.

“Syukur Alhamdulillah sejak terbabit dalam program ini Januari lalu sambutan yang diterima amat memberangsangkan sekali dan penyertaan masyarakat juga ramai.

“Kehadiran saya di Balik Pulau juga disambut dengan penuh meriah oleh masyarakat yang begitu ramai dan berharap akan lebih ramai lagi di program yang lain dimasa depan.

“Sebelum ini saya sudah terbabit dalam aktiviti seumpama ini sejak 2004 termasuk aktiviti menyelamat haiwan, ikan yu, terumbu karang dan kini sungai mendapat sambutan,” katanya.

Maya berkata sebagai duta River Of Life sempena projek Kementerian Wilayah Persekutuan selama satu tahun sudah bergiat aktif sejak Januari lalu.

Mengulas cabaran #MayaKarinChallenge pula, dia sangat gembira dengan sambutan memberangsangkan daripada pengikutnya di laman Instagram.

“Setakat ini, saya sudah menerima lebih 3,000 penyertaan daripada pengikut yang meniru gaya berendam di sungai ini sejak sebulan lalu, tambahnya.

Ends